Ahad, 30 Januari 2011

bedah buku siri 2:COGITO ALLAH SUM!

COGITO ALLAH SUM!
“Semakin aku berfikir ternyata Allah semakin ada”


Pada entri kali ini, penulis mahu berkongsi ulasan ringkas mengenai sebuah novel yang penulis kira sangat baik untuk tatapan kita sebagai seorang muslim.. Novel yang diberi tajuk Cogito Allah Sum! Karya yang diakhiri halaman 213 ini telah dikarang oleh Lalu Mohammad Zaenudin yang berasal dari negara seberang iaitu Indonesia.
Karya pertama beliau ini mengisahkan sebuah kehidupan seorang remaja yang bernama Rayyan yang terjebak ke kancah kesesatan akidah yang punah ranah sehingga menjadi beliau seorang free thinker! tidak percaya kepada kewujudan tuhan dan menyokong penuh teori revolusi Darwin. Pemahaman tegar dan darah mudanya telah menjadikan Rayyan seorang yang cukup bersemangat dan bersungguh-sungguh mengajak lebih ramai umat manusia menjadi seperti beliau, menjadi seorang yang bebas daripada pengaruh agama dan bertuhan.
Perjalanan cerita bermula dengan kehidupannya di alam universiti, penuh diisi dengan forum dan program yang mengajak manusia untuk menggunakan logik akal tanpa dipayungi wahyu agama dalam menjalani kehidupan. Novel ini juga turut diselitkan unsur-unsur percintaan, kekeluargaan dan kekuatan membangunkan kembali keutuhan akidah yang telah runtuh. Rayyan ditemani watak Haikal sebagai rakan karibnya. Juga diperkenalkan watak Ain Nadia sebagai watak perempuan yang menjadi rebutan antara mereka berdua. Sekian lama mengharap cinta manusia, hanya kekecewaan yang bertamu disulami dengan pengorbanan demi sahabat. Hidupnya yang dahulu dirasakan indah, penuh kemahsyuran dan kebebasan melakukan apa sahaja berubah segala-galanya. Semuanya seolah lari jauh meninggalkan Rayyan. Dia buntu, tidak berdaya dan berteman air mata setiap masa. Di sinilah bermulanya perubahan. Di sisnilah bermulanya satu perasaan yang tidak pernah dirasakan. Waktu ini jugalah dia berfikir dan terus berfikir. Jentikan fikiran tersebut membawanya ke arah perubahan terbesar dalam hidupnya dalam mengenali sang pencipta yang disangka tidak pernah wujud. Dia mula berasakan ada sesuatu yang diperlukan dalam seluruh jiwanya. Terasa kosong jiwa membuatkan satu jentikkan kecil timbul di benak fikirannya.
Saat ini jugalah muncul watak Pak Rahim. Siapakah Pak Rahim? Apakah hubungan Pak Rahim dengan Rayyan? Apakah yang telah Pak Rahim ‘bina’kan dalam diri Rayyan? Apakah dugaan yang bakal diterimanya? Jawapannya terjawab dengan membaca novel ini... COGITO ALLAH SUM. InsyaAllah sangat bermanfaat untuk sesiapa sahaja.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan