Ahad, 12 Jun 2011

Reading Share 3 : Sejarah Pemikiran 1




Reading Share kali ini penulis mahu kongsikan sebuah lagi buku yang bertajuk SEJARAH PEMIKIRAN 1 yang dikarang dan disusun oleh Sulaiman Nordin. Tidak pernah pula penulis jumpa buku ini dipasaran tetapi penulis tertarik untuk membelinya ketika menghadiri satu forum yang membahaskan isu pengharaman ESQ 165 di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) tidak lama dulu. Penulis tertarik dengan buku ini kerana isinya. Isinya luas! Lagipun, penulis lebih rasa ‘percaya’ kerana faktor-faktor yang penulis agak titikberatkan contohnya sumber rujukan dan latar ilmu pengarang tersebut selain isi yang diminati penulis. Dengan sumber rujukan yang banyak, latar ilmu dan pengalaman pengarang serta gaya presentasi sesuatu buku itu antara faktor-faktor yang mampu meyakinkan penulis untuk membaca seterusnya mengamalkan apa yang baik di dalamnya. InsyaAllah.. Jadi, kepada para penulis buku jangan pandang remeh aspek-aspek berkenaan (haha..!).

Sulaiman Nordin, penulis hampir tidak pernah mendengar nama ini. Namun yang menariknya mengenai penyusun buku ini ialah beliau pernah mendapatkan ijazah dalam bidang sains di Australia dan UK seterusnya ijazah pengajian Islam di Umm Al-Qura, Mekah. Dengan pendidikan formal yang dialami dari dua sistem pendidikan yang bertentangan ini ternyata dapat memberi satu pengalaman yang amat berharga mengenai kepelbagaian pemikiran dan fahaman yang wujud di dunia ini. Latar pendidikan beliau ini membolehkan Sulaiman Nordin mendokumentasikan secara lebih kritikal dan terperinci menurut perspektif beliau berdasarkan pengetahuan dan pengalaman seterusnya disampaikan dalam bentuk penulisan sebegini. Dengan penerbitan buku ini, pembaca akan disajikan dengan maklumat-maklumat yang cukup luas dan sejagat. Memandangkan keadaan dunia yang semakin kompleks untuk kita alami dan fahaminya, penulisan beliau ini akan memberi kefahaman yang lebih mendalam dan pandangan yang lebih luas tentang makna-makna peristiwa yang telah dan sedang berlaku di seluruh saentero.



Penulis mengandaikan buku ini sangat bermanfaat sebagai bacaan tambahan malah boleh dijadikan satu rujukan yang penting sebenarnya. Banyak jawapan yang mampu menyelesaikan ketidakjelasan sebelum ini. Baiklah, penulis bawakan bab yang pertama. Bab ini, pembaca akan dijelaskan tentang konsep ILMU. Ilmu daripada pandangan Islam yang menyentuh kedudukan ilmu itu, hirarki ilmu, ilmu dari aspek hukum dan sebagainya. Seterusnya bab kedua menyentuh tentang SAINS WAHYU. Selepas pengenalan, pembaca diceritakan tentang perbandingan kitab-kitab Allah, cara pembukuannya, Al Quran sebagai mukjizat, fungsinya dan isu yang berkaitan.
Bab-bab seterusnya ialah menyentuh zaman Renaisans secara keseluruhannya, teori-teori seperti teori karut Darwin dan konsep penting serta intipati teori tersebut. Selain itu konsep-konsep lain yang disentuh dan dibahaskan ialah seperti Sekularisme, Rationalsime, liberalisme dan sebagainya. Hal ini ditambah dengan isu dan peristiwa besar yang bersangkut paut dengan fahaman-fahaman tersebut serta terbitan-terbitan fahaman lain selepasnya dan akhir sekali pandangan Islam terhadapnya.

Buku yang mempunyai 499 halaman ini juga menjelaskan juga apa itu apa itu Gerakan Iluminiti dan Orde Baru Dunia, siapakah dan bagaimana rancangan mereka, mengenal kepada Zionisme dan sejarahnya serta perbandingan antara Islam dengan Kapitalisme, Sosialisme, Komunisme dan banyak lagi. Peperangan minda (Ideological Warfare) ini dijelaskan sejelas-jelasnya. Bab-bab lain pula menyentuh isu alam sekitar dan kajiannya sebagai contoh salah satu tajuknya ialah Lubang Ozon: Suatu Andaian atau Fakta Sains? Pembaca juga akan diperkenalkan dengan sistem kewangan sedunia, krisis mata wang, pinjaman riba sebagai alat memperhambakan manusia serta analisis mengenai hak asasi manusia dari kacamata barat. Namun pengarang tidak lupa meletakkan pandangan Islam mengenainya. Buku ini benar-benar mendedahkan misinformation yang telah lama wujud dalam kotak minda ramai orang. Tambahan yang lain, fahaman Syiah, agama Buddha dan Hindunisme. Menariknya lagi, terdapat soalan pemahaman di dalamnya sebagai pengukuhan pemahaman pembaca. Akhir kata, penulis menyarankan... BACALAH! Milikinya kerana maklumat yang cukup baik, malah penulis merasakan ianya sangat berbaloi walaupun dengan harga hanya RM15.00 sahaja! Selamat Membaca!

p/s : Buku Sejarah Pemikiran 2 telah menyusul keluar ke pasaran pada bulan Januari 2011 yang lalu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan